bdk-adil™

.: Its All About Tech And Daily Life :.

Projek hidroelektrik Hulu Terengganu ancam ekologi

Mohd Feroz Abu Bakar

KERAJAAN Terengganu bercadang menjadikan sektor pelancongan tulang belakang ekonomi negeri sebagai bekalan selepas sumber daripada sektor minyak dan gas kehabisan pada masa depan. Dalam ucapan penggulungan Bajet 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menamakan Tasik Kenyir sebagai kawasan berpotensi besar untuk dibangunkan bagi lokasi utama pelancongan.

Namun, pada masa sama, kerajaan negeri juga meluluskan beberapa projek pembangunan yang dilihat akan memusnahkan sistem ekologi di tempat terbabit yang sepatutnya menjadi lokasi pelancongan pada masa akan datang. Terbaru ialah Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu yang akan menenggelamkan 6,130 hektar hutan di kawasan sensitif alam sekitar peringkat 1, dalam Hutan Simpan Tembat.

Klasifikasi Peringkat 1 mengikut Rancangan Fizikal Negara itu bermakna tiada pembangunan, pertanian dan pembalakan yang dibenarkan kecuali ekopelancongan berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan. Projek berkenaan akan mewujudkan bukan satu malah dua empangan baru yang jaraknya kira-kira 25 kilometer ke utara Tasik Kenyir.


Sahabat Alam Malaysia (SAM) percaya kerajaan Terengganu perlu bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd bagi membina jana kuasa yang akan mengeluarkan kira-kira 212 MegaWatt (MW) kuasa elektrik demi pembangunan negara. Tetapi, pertubuhan bukan kerajaan itu membantah cadangan kerajaan negeri untuk turut membalak kawasan lebih 12,600 hektar di sekeliling bakal Empangan Tembat dan Empangan Puah.

SAM bimbang kerana kawasan di sekeliling kedua-dua empangan berkenaan sepatutnya menjadi kawasan tadahan air untuk menjana tenaga bagi Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu.

Pegawai Penyelidik Lapangan SAM, Meor Abdul Razak Meor Abdul Rahman, berkata kawasan cadangan pembalakan Hutan Simpan Tembat kaya dengan kepelbagaian hayat berskala besar yang masih kekal terpelihara di Terengganu, bersempadan dengan Taman Negara Pahang.

“Kawasan cadangan pembalakan itu sebahagian kompleks hutan 'Tulang Belakang Tengah' dan Koridor Hidupan Liar dalam gugusan hutan Taman Negara Pahang, banjaran timur. SAM tidak membantah pembalakan hutan seluas 6,130 hektar yang akan ditenggelami air kerana pembalakan sudah dijalankan dengan giat.

“Bagaimanapun, kami membantah cadangan pembalakan di sekeliling kawasan berkenaan yang lebih luas daripada hutan yang bakal ditenggelami air pada 2012,” katanya. SAM menerusi Presidennya, SM Mohammad Idris mahu kerajaan Terengganu membatalkan pembalakan di kawasan lebih 12,600 hektar itu atau mengecilkan skalanya.

SM Mohammad Idris menyatakan bantahan mereka melalui surat kepada Menteri Besar pada 14 Disember lalu.

Pembinaan Empangan Kenyir pada 1980-an sudah cukup banyak memusnahkan flora dan fauna termasuk memaksa haiwan di tanah rendah seperti gajah dan badak sumbu meninggalkan habitat semula jadi mereka. Kawanan gajah kini boleh dilihat di Jalan Tasik Kenyir-Gua Musang, tanda haiwan berkenaan tertekan dengan pembalakan dan habitat mereka ditenggelami air.

Apa perasaan anda jika diusir dari rumah sendiri dan kampung halaman? Meor Abdul Razak berkata, ekspedisi SAM ke kawasan pembalakan ke Hutan Simpan Tembat pada Oktober lalu juga dikejutkan dengan kehadiran harimau kumbang yang melintas di laluan balak. Itu satu lagi tanda binatang liar terpaksa merayau-rayau di luar habitat asal kerana hutan semula jadi sedang dimusnahkan dengan giat.

Ironinya, jika Tasik Kenyir dan jirannya Empangan Tembat atau Empangan Puah hendak dijadikan kawasan ekopelancongan besar-besaran, apa lagi yang tinggal untuk ditunjukkan kepada pelawat?

Santuari Gajah Sungai Ketior dalam Hutan Simpan Tembat pun masih belum diwartakan sebagai kawasan perlindungan atau pemuliharaan semula jadi. Satu lagi projek yang menjadi kebimbangan SAM di Terengganu ialah projek berskala besar penternakan udang di kawasan seluas 1,000 hektar di Penarik, Setiu, hanya beberapa kilometer dari pantai.

Meor Abdul Razak berkata, walaupun projek itu dibangunkan di Hutan Tanah Kerajaan dan Jabatan Perhutanan Terengganu mengkategorikan kawasan dipenuhi pokok gelam itu sebagai hutan miskin atau tiada hasil, tapak projek adalah lapangan banjir. Laporan kesan alam sekitar (EIA) menunjukkan tapak projek itu adalah kawasan paya menjadi tadahan air, iaitu lapangan limpahan air Sungai Chalok yang terdedah kepada kesan pasang-surut.

“Kerajaan negeri menebus-guna tanah paya yang selama ini menjadi kawasan limpahan air secara semula jadi. Selepas ini, ketika musim tengkujuh di Pantai Timur, air hujan berlebihan tidak dapat melimpah dan keadaan lebih buruk jika air laut pasang.

“Fenomena ini sudah pun dialami di Kerian, Perak selepas air Tasik Bukit Merah tidak dapat mengalir ke kuala akibat air pasang, ditambah pula dengan mendapan akibat pembalakan di Hutan Simpan Pondok Tanjung lebih 1,400 hektar untuk projek penternakan kambing boer.

“Akibatnya, sawah padi dan rumah penduduk kampung yang tidak mendapat sebarang manfaat daripada projek berkenaan ditenggelami air,” katanya.

Laporan EIA juga memaklumkan projek penternakan udang di Penarik akan mengancam secara kritikal tuntung dan tuntung laut yang membiak di Sungai Setiu dan Sungai Chalok. Atas dasar itu, SAM Idris sekali lagi merayu kerajaan Terengganu mengecilkan skala projek itu agar tidak menjejaskan ekologi kawasan sekitarnya.


-dipetik dari Berita Harian-

0 comments:

Post a Comment