bdk-adil™

.: Its All About Tech And Daily Life :.

2 laporan polis terhadap Suara Keadilan, patologis Thai


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat dua laporan polis semalam, terhadap akhbar Suara Keadilan dan pakar patologi terkenal Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan selepas akhbar itu menyiarkan laporan bertajuk 'Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh' dalam keluaran bertarikh 29 Disember 2009 – 5 Januari 2010.

Laporan polis itu dibuat dua pegawai SPRM Putrajaya, Raub Ghani dan Hisyam Mohd Yusoff, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira jam 10.30 pagi.

Menerusi laporan polis yang dibuat secara berasingan itu, mereka mendakwa terbaca mengenai artikel itu ketika membaca akhbar Suara Keadilan di kafe Bintang Walk di Seksyen 7, di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin.


Artikel berkenaan menyatakan laporan forensik Dr Pornthip selepas bedah siasat kedua terhadap mayat Setiausaha Politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock, di Hospital Sungai Buloh, menyimpulkan lelaki itu mati dibunuh.

Mereka membuat laporan polis itu terhadap Dr Pornthip kerana mengesyaki pakar itu membocorkan maklumat laporan forensik kepada pihak yang tidak sepatutnya dan disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan.

Mereka menyifatkan perbuatan itu satu tindakan subjudis dan melampaui kuasa inkues yang masih berjalan.

Raub dalam laporan polisnya berkata, laporan polis itu dibuat kerana perbuatan Dr Pornthip adalah perbuatan melampaui keputusan mahkamah dan ia akan memburukkan lagi imej SPRM.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed, yang ditemui, berkata beliau akan mendapatkan laporan daripada pegawainya mengenai penyiaran artikel itu.

Beliau yang baru saja memulakan tugas selepas bercuti, berkata beliau akan mendapatkan perincian mengenai artikel berkenaan.


-dipetik dari Berita Harian-

0 comments:

Post a Comment